Mohamad Zohadie Tak Kesal Pertaruh Jawatan Demi UPM
Bicaranya tipikal ahli intelek – berterus-terang, jujur dan berani meluahkan kata-kata – menegakkan apa yang dirasakan benar tanpa terselit sebarang cubaan untuk berdolak dalik.
Sikap itu jugalah yang pada pendapat ramai, membawa noktah kepada tugasannya bagi jawatan akademik tertinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), antara institusi pengajian tinggi awam tertua dan ternama negara.
Itu kisah empat tahun lalu yang skripnya berakhir dengan penamat cukup mengecewakan sehingga menjadikan nama Prof Ir Dr Muhamad Zohadie Bardaie seakan-akan lenyap terus daripada persada bidang akademik arus perdana.
Plot kepada kisah itu bertunjangkan sikapnya yang berani dan berterus-terang sehingga dianggap cuba melawan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.
Puncanya hanya kerana isu bantahan bekas Naib Canselor UPM itu terhadap pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa dari universiti berkenaan ke sebuah universiti lain.
Ketika itu, lebih tepat lagi sekitar Mei 2005, isu terbabit mendapat tempat di dada media, diwarnai pula dengan pelbagai pendapat daripada beberapa pihak lain, baik di dalam atau luar UPM, ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengkritik.
Akhirnya, pakar dalam bidang kejuruteraan pertanian itu melepaskan jawatan yang disandangnya selepas kira-kira empat tahun menerajui universiti berkenaan.
Menyusul jejak anak tempatan pertama berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Pertanian itu ialah menteri terbabit yang digugurkan daripada senarai Kabinet kerajaan beberapa bulan kemudian.
Berjauhan dari Bukit Serdang tidak membataskan Muhamad Zohadie daripada dunia akademik yang amat dicintainya, sebaliknya beliau sanggup berkelana selama tiga bulan ke Jepun, menjadi felo penyelidik di Universiti Tsukuba.
Tiga bulan meninggalkan anak dan isteri, beliau kembali semula ke tanah air dan mencuba bidang keusahawanan dengan membeli ekuiti dalam sebuah syarikat perunding kejuruteraan dan bersama beberapa rakan membuka sebuah syarikat pembuatan.
Kesibukan menguruskan perniagaan tidak langsung menyekat cintanya kepada bidang akademik melalui tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Universiti Selangor (Unisel) dan Ahli Jurnal Kejuruteraan Antarabangsa.
Pada usia 58 tahun dengan semangat pendidik yang masih menebal, beliau dikurniakan pengiktirafan tertinggi akademik apabila dianugerahi Profesor Emeritus daripada UPM.
Anugerah itu disampaikan sempena Konvokesyen Ke-33 universiti berkenaan, semalam dan turut diterima oleh bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Muhamad Awang.
“Kejadian (isu perbalahan dengan bekas menteri) tidak menjejaskan niat saya. Bagi saya sebagai Naib Canselor atau dalam bahasa korporatnya, Ketua Pegawai Eksekutif, sudah tentulah saya perlu pertahankan organisasi saya.
“Saya ada prinsip… kena pertahankan. Isu yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kerana program aeroangkasa UPM mahu dipindahkan ke universiti lain,” kata Dr Muhamad Zohadie, mengulas kembali apa sebenarnya berlaku pada 2005 itu.
Tidak lama selepas meninggalkan UPM, atas kerelaan sendiri atau pun kerana muak dengan desakan pihak tertentu yang mahukannya meletak jawatan, beliau terus dikunjungi pegawai akademik Jabatan Aeroangkasa UPM.
“Mereka meluahkan penghargaan kerana saya sanggup mempertaruhkan jawatan untuk mempertahankan mereka. Saya beritahu mereka sebagai Naib Canselor, saya kena pertahankan apa juga yang menjadi kepentingan UPM.
“Itu penting… kita tak boleh mengharapkan orang lain yang melakukannya untuk kita (mempertahankan kepentingan) . Kita kena buat apa yang perlu dibuat,” katanya.
Ditanya sama ada beliau sudah melupakan peristiwa empat tahun lalu itu, Muhamad Zohadie berterus-terang mengakui masih ada rasa terkilan sehingga kini, tetapi hidup perlu diteruskan.
“Ya… saya teruskan hidup saya, tetapi ada grudges sikit. Perkara seperti itu sepatutnya tak berlaku pun, dunia akademik sepatutnya jadi tempat untuk cari kebenaran… (kejadian itu) amat malang sekali,” katanya.
Selain menggalas tanggungjawab di Unisel dan jurnal kejuruteraan antarabangsa, beliau kekal aktif dalam penulisan akademik dan kadangkala dijemput memberi syarahan, termasuk di luar negara.
“Saya juga cuba bidang keusahawanan. .. sebabnya ketika di UPM dulu sering saya katakan kepada graduan supaya apabila habis belajar, ceburi bidang keusahawanan. Jadi, nampaklah saya buat apa yang saya cakapkan… walk the talk.
“Hubungan saya dengan UPM juga terus berjalan, saya masih berhubung dengan fakulti (kejuruteraan) kerana saya banyak rakan di Jepun. Bila ada apa-apa isu, saya hubungkan mereka yang di Jepun itu dengan fakulti kejuruteraan UPM,” katanya.
Mengenai gelaran Profesor Emeritus dalam Kejuruteraan Biosistem itu, datuk kepada seorang cucu ini mengakui, ketika dimaklumkan mengenai tawaran itu lebih sebulan lalu, beliau menolaknya kerana berasakan tidak perlu dianugerahi apa-apa.
“Saya maklumkan kepada mereka, tak payahlah bagi saya anugerah… tanpa anugerah pun saya sanggup bantu UPM. Saya masih boleh menyumbang kepada UPM dan kejuruteraan. .. itu memang perkara yang saya sentiasa minat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau akhirnya akur dan bersetuju menerima anugerah berkenaan selepas berpendapat ia boleh menyuntik merit kepadanya untuk terus menyumbang dalam bidang akademik, termasuk pada peringkat antarabangsa.
Berita Harian



Kenapa aku tak pernah tau cerita ini?
Salam, kamu ni pelajar UPM ke…pesal tragedi sebesar ni x amek tau..ish2…banyakkan membaca berita…sekian terima kasih.
sebab tak ambik tau… itu pasal tak tau
Saya amat sedih dan kecewa apabila mendegar kisah2 sedemikian. Potensi seorang individu yg berkaliber telah terbazir hanya kerana tak setuju dgn seseorang. Kebenaran terletak pada apa yang dikatakan bukan SIAPA yang mengataknnya. Inilah mentaliti kat Malaysia yg sgt sukar utk diubah.
Kita kena faham apabila berdepan globalisasi, yang lemah akan mati dan diganti yg lebih kuat. Oleh itu, dlm perspektif dalam negara, kita kena pastikan yg layak (akademik & dsb) menerajui
posisi yang bersesuaian (menerajui arena akademik & dsb) dan bukannya ahli politikus yg tidak mempunyai kelayakan yng selari dengan tugasnya. Jika tidak potensi sebenar Malaysia akan terbazir, dan terus tidak maju.
beyonduni.blogspot.com
masih tringat sikit2 kisah ni..1st year time tu
n pantun famous dato zohardi lebih kurang berbunyi..
siakap senohong, gelama ikan duri..
bercakap bohong, lama2 bleh jadi menteri
Banyak lagi cerita pasal Mantan VC ini pelajar UPM tidak tahu… every rabu dengan pegawai2 universiti pusing UPM naik basikal cari benda boleh improve… banyak lagi… die kene turun pun pasal politik pasal 2 die bg pantun macam 2… tgk la saper menteri time 2… ade manusia yg sekarang dah jadi mantan gak x puas hati degan dia… so jadi la macam 2…
orang politik ni banyak yang bodoh sombong……tak heran la kalau mereka banyak buat salah……