Seksyen 15(5) AUKU: Tidak sah & Cabul Kebebasan Bersuara
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.
Dalam keputusan penanda itu, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.
Keputusan majoriti ini diperoleh apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Seorang lagi hakim Datuk Low Hop Bing yang mengetuai panel itu, bagaimanapun berbeza pendapat.
Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.
Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.
Pelajar-pelajar terbabit, semuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King Chaì (exco).
Mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.
SUMBER: malaysiakini.com
BN Ceroboh UPM, BHEP ‘Organ’ Penganjur?
SERDANG, 22 Oktober 2011 – Kibaran bendera dan banner parti pembangkang Selangor, Barisan Nasional (BN) sepanjang jalan menuju ke Dewan Besar
Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam menimbulkan curiga dalam kalangan staf dan mahasiswa UPM.
Majlis Penerangan Perdana Nurani Rakyat, bertemakan Yakini BN, Sayangi Selangor anjuran Barisan Nasional (BN), dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Malaysia menimbulkan persoalan banyak pihak.
Antaranya, bendera dan banner digantung sekitar 2.00 pagi hari yang sama dipercayai bahawa program ini dianjurkan secara mengejut dan khusus untuk ahli BN yang kebanyakannya datang dari luar ketika cuti semester bermula. Menurut seorang saksi, van BHEP digunakan untuk membawa banner dan bendera untuk digantung sepanjang jalan di fakulti.
“Kami barisan Pro-Mahasiswa mengecam keras pencerobohan mana-mana parti politik dengan penganjuran program bersifat kepentingan parti di kampus. Kuasa politik bukanlah alasan untuk memperalatkan kampus dengan sewenang-wenangnya sebagai medan kempen parti secara terang-terangan.” tegas jurucakap Pro-Mahasiswa UPM, Ahmad Al-Meseiry.
Dalam program tersebut, kira-kira 1500 peserta yang terdiri daripada ahli parti komponen BN yang majoritinya ahli UMNO. Lebih mengecewakan lagi, pelajar sekolah rendah dan menengah turut digula-gulakan untuk hadir bagi memenuhi ruang Dewan Besar PKSASS UPM.
Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang beria-ia kerajaan BN pertahankan, dicabuli oleh mereka sendiri dengan menggunakan universiti awam sebagai tempat berkempen menjelang PRU-13 serta mengheret staf dan mahasiswa mencabuli akta tersebut.
Sikap BHEP juga dilihat sebagai hipokrit terhadap mahasiswa kerana mereka dipercayai menjadi organ penting dalam penganjuran program haram ini. Ini kerana van yang digunakan untuk menggantung banner dan bendera menggunakan van UPM sewaktu orang lain sedang tidur lena.
“BHEP, jangan pula buat-buat tak tahu penganjuran program ini. Mahasiswa tahu kegiatan BHEP UPM. Pro-Mahasiswa tetap bertegas dengan pendirian bahawa sebarang program berunsur politik kepartian, ditolak keras oleh mahasiswa. ” kata jurucakap Pro-M UPM.
Sewaktu UIA masih belum reda dengan isu pencabulan hak akademik ke atas Prof Dr. Aziz Bari, UPM pula membiarkan hak akademik UPM dicabuli oleh pembangkang Selangor. Sekali pun parti politik tersebut terdesak berkempen menjelang PRU-13, kampus adalah bukan gelanggang mereka.
Pro-Mahasiswa mendesak agar BHEP memberi penjelasan dalam isu ini atau tindakan lebih tegas akan diambil oleh mahasiswa peringkat nasional. Parti-parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang ditegah mencemari taman ilmu UPM atau terpaksa menerima kebencian mahasiswa.
Bawa Masuk Kuda Kepang, PMIUPM Kesal dengan Penganjur
Serdang, 20 Okt- Persembahan permainan kuda kepang asli yang dimainkan oleh sekumpulan penggiat permainan tersebut yang berlangsung di tapak Pesta Konvokesyen UPM, kelmarin (Selasa) menjadi tanda tanya bagaimana permainan yang difatwakan haram oleh majlis fatwa ini boleh dianjurkan di UPM.
Tindakan Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA) selaku penganjur Pesta Konvokesyen UPM ke-35 turut dipertikai Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) kerana permainan yang mengamalkan upacara ritual ini boleh merosakkan akidah dan syirik kerana terdapat unsur pemujaan makhluk ghaib.
Memetik dari laman PMIUPM, “Presiden PMIUPM, Mohd Hazim Mohd Noh nyatakan kekesalan dan mempertikai tindakan penganjur Pesta Konvokesyen kali ini, Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA) yang membenarkan upacara gelanggang kuda kepang asli itu masuk ke UPM walaupun fatwa pengharaman permainan kuda kepang bertarikh 18 Februari 2009 telah ada”
Keputusan Majlis Fatwa bertarikh 18 Februari 2009 pula menyatakan “Permainan kuda kepang sama ada tarian biasa atau dramatari atau tarian gelanggang adalah haram kerana ianya bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiyah.
Semua umat Islam dilarang dan ditegah daripada melibatkan diri dengan kuda kepang. Mereka yang bergiat dalam kuda kepang hendaklah berhenti serta merta dan bertaubat dengan taubat nasuha.”
Pendirian Pengerusi Pro-Mahasiswa UPM, saudara Ramzul Nasri Kamaruzaman pula berhubung isu ini, ketika dihubungi, beliau turut sependapat dengan Presiden PMIUPM bahawa sebarang unsur khurafat, syirik dan merosakkan aqidah mesti dihindari dan ditegah daripada dianjurkan di UPM.
“Bukan sahaja di universiti, bahkan di tempat awam pun tidak sepatutnya dianjurkan kerana fatwa pengharamannya telah pun ada.” tambah beliau lagi.
Turut dilaporkan, seorang siswi pula diserang histeria di sebuah kolej selepas menonton permainan tersebut. Menurut perawat siswi tersebut, gangguan yang dialaminya memang berpunca dari semangat yang dipuja dalam permainan kuda kepang malam yang sama.
Presiden PMIUPM juga meluahkan rasa kecewa apabila bagaimana permainan misteri itu dijalankan sedangkan pada masa yang sama berlangsung program kerohanian di atas pentas berhampiran kira-kira 100 m dari tempat permainan tersebut.
Program Live Band with Mu’adz anjuran PMIUPM turut mengundang kumpulan Qasidah oleh pelajar tahfiz, persembahan teater Hasan Al-Bana oleh Smart Crew PMIUPM selain gandingan mantap Mu’adz bersama penasyid yang dikenali sebagai Mr Spontan dan Mr Gendang.
Menurut sumber lagi, PMIUPM akan mendapatkan penjelasan sebenar daripada penganjur dan bertemu dengan Presiden KEPERTAMA, Tn Haji Mohd Zailani Abd Razak berhubung isu ini dalam masa terdekat.
UIA Gantung Tugas Pakar Perlembagaan Aziz Bari
Bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang universiti itu.
Malaysiakini difahamkan, perkara itu turut terkandung dalam notis yang dikeluarkan padanya daripada unit undang-undang UIA.
Pensyarah paling kanan di fakulti undang-undang itu digantung bergaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Selain itu, difahamkan Aziz juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak ekoran kad aksesnya harus dipulangkan kepada pentadbiran universiti.
Difahamkan penggantungannya itu akan menjejaskan lebih 100 pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD).
Aziz berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu.
Sementara itu, dalam surat tunjuk sebab yang diserahkan tangan kepada Aziz, beliau dituduh “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti”.
Aziz diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.
Timbalan menteri sedih, mohon laporan UIA
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau “terganggu dan sedih” terhadap apa yang berlaku pada Aziz.
Justeru, tambahnya, beliau telah meminta laporan bertulis daripada UIA berhubung isu itu.
“Jika orang ramai/mahasiswa mahu sokong Aziz Bari, itu hak mereka,” tulisnya di laman Twitter.
Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian pentadbiran dan pengurusan UIA setakat ini masih belum berhasil.
Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan sumber dari pejabat rektor UIA, Datuk Prof Zaleha Kamaruddin mengesahkan surat itu dikeluarkan pihaknya semalam.
Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya.
WartawanMalaysiakini turut disiasat oleh pihak berkuasa kerana portal itu menyiarkan pandangan kontroversi itu.
Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.
Sebelum ini, SKMM dan pihak polis juga telah menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin mengajak alumni universiti itu mengadakan protes di Masjid UIA di Gombak selepas solat Jumaat esok bagi menyatakan sokongan kepada Aziz.
Shamsul antara lulusan universiti itu dalam bidang undang-undang.
Sumber: Malaysiakini
Tiada Kertas Kerja, Tiada Tempat Mesyuarat
Serdang, 13 Okt- Mahu gunakan tempat untuk mesyuarat tetapi tidak dibenarkan atas alasan tiada kertas kerja. Itulah yang berlaku kepada Persatuan Kebajikan Anak Negeri Kelantan apabila memohon untuk gunakan sebuah bilik di Kompleks Mahasiswa UPM.
Permohonan persatuan tersebut yang lebih dikenali sebagai D’Naim untuk mengadakan mesyuarat di kompleks mahasiswa UPM, ditolak oleh ‘penunggu’ tempat tersebut daripada Unit Aktiviti Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Alasannya, hanya kerana tiada kertas kerja.
Kompleks mahasiswa yang sepatutnya menjadi “students town”, iaitu tempat mahasiswa jalankan aktiviti persatuan, kelab dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) makin dikawal ketat prosedur penggunaan tempat oleh BHEP nampaknya.
Menurut Presiden D’Naim, Saudara Mohd Sufiyan Mohamed Nor, beliau begitu kecewa dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM yang memperketatkan syarat dan prosedur penggunaan Kompleks Mahasiswa sewenang-wenangnya hingga menyusahkan mahasiswa beraktiviti walaupun semata-mata untuk adakan mesyuarat.
Beliau juga mempertikai tindakan Cik Masdira binti Mat Husin (gambar kiri), Ketua Unit Latihan, Seksyen Pembangunan Pelajar, BHEP yang letakkan syarat untuk guna tempat, perlu ada kertas kerja sedangkan tiada peraturan bertulis yang nyatakan untuk menggunakan tempat bagi tujuan mesyuarat perlu ada kertas kerja.
“Unit aktiviti pelajar BHEP sepatutnya memudahkan serta membantu pelajar UPM untuk bergiat dalam aktiviti berpersatuan bagi memenuhi tuntutan kemahiran insaniah, bukan menyusahkan pelajar dengan alasan yang bukan-bukan.” ujar beliau lagi yang juga merupakan wakil Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pertanian.
Tindakan ini menggambarkan kerenah BHEP UPM serta terdapat unsur-unsur penguasaan oleh BHEP ke atas Kompleks Mahasiswa yang kini sebahagian besarnya dijadikan bilik kuliah dan penempatan unit-unit BHEP. Maka tidak hairan jika ranking UPM jatuh akibat kerenah birokrasi melampau dan menyusahkan.
Dalam masa yang sama, Pro-Mahasiswa terus menuntut agar Kompleks Mahasiswa dikembalikan kepada mahasiswa sepenuhnya sekiranya BHEP terus dengan kerenah mereka dan menyusahkan mahasiswa berpersatuan. Keadaan ini juga tidak selari dengan hasrat pentadbiran universiti yang mahu mahasiswa pertingkatkan kemahiran insaniah (KI) dengan aktiviti berpersatuan dan kokurikulum.







Ulasan