Maal Hijrah 1433 : Apa kata PRO-M UPM?
Salam Maal Hijrah buat warga UPM.
Pro-Mahasiswa memulakan tinta emas, menyulam sebuah erti kebebasan seiring kebermulaan tahun baru umat islam. Maal Hijrah atau Awal Muharram, kita tidak lari dari bercakap soal penghijrahan atau yang sinonim dengannya perubahan dan seterusnya memahat banyak azam baru. Azam baru Pro-Mahasiswa adalah, kami akan terus konsisten memperjuangkan kebebasan bersuara, terutamanya dalam bidang akademik.
Dalam ruangan kali ini, kami akan berbicara soal penjajahan pemikiran. Menyebut soal penjajahan, seluruh Malaysia pasti akan akan kaitkan Tanah Melayu, British dan banyak lagi yang ada dalam buku sejarah. Apabila bercakap soal penjajahan pemikiran, maka sang intelektual, si pro-ketimuran akan mula melabel manusia-manusia yang terikut-ikut budaya barat dan tidak punya identity. Mari kita lihat lebih halus lagi, apakah bentuk penjajahan yang kita sendiri tidak mahu bebas darinya, sama ada kita warga Malaysia, warga intelektual atau si pro-ketimuran. Senyap? Sepohon Kayu? Angguk-angguk geleng-geleng?.. Nah itu jawapannya, penjajahan ketakutan dalam minda yang akhirnya menyebabkan banyak perkara salah didiamkan dan menjadi barah kepada Negara. Inilah masalah yang mana pelbagai jenis manusia dalam Malaysia masih belum bebas. Selaku mahasiswa yang cakna akan kepentingan bernegara, biar kami berbicara soal kebebasan bersuara yang sehingga hari ini belum dimiliki secara total oleh penduduk bumi. Kebebasan bersuara adalah hak yang sewajarnya dimiliki dan digunakan sebaiknya oleh penduduk Malaysia dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan perkara 10. Kebebasan bersuara yang digagaskan oleh pemikir-pemikir terdahulu seperti Socrates, Plato, dan Aristotle sewajarnya dilihat bukan sebagai bentuk penjajahan, tetapi pengamalan sihat dalam konteks kebebasan. Di bawah ideologi hak asasi manusia, pendapat seseorang tidak boleh disekat dan individu itu mempunyai hak memberitahu orang lain mengenai pendapatnya sama ada benar atau salah.
Justeru, kami menyeru kepada semua mahasiswa untuk membebaskan pemikiran daripada penjajahan yang sebenar. Penjara ketakutan yang hanya akan menjadikan kita warga academia and intelligentsia yang tidak dapat menyumbang kepada agenda dan gagasan yang segar untuk merubah Malaysia.




Ulasan