ProM UPM menyambut baik pandangan Dekan FEM UPM terhadap pindaan AUKU
6 Disember 2012 – Pro-Mahasiswa UPM menyambut baik pandangan yang dilontarkan Dekan Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkaitan pindaan keatas pindaan AUKU. Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkata pindaan itu mencerminkan keprihatinan pihak terbabit mahu melahirkan mahasiswa alaf baru yang peka, rasional, berani dan matang dalam menilai perjalanan politik.
“Pindaan itu ibarat bonus kerana selama ini berada dalam situasi dikongkong dan terikat jika mahu melahirkan pendapat mengenai sesuatu isu politik. Kini, halangan itu tiada menjadikan hak bersuara semakin bebas.
“Meskipun aspek kepartian di kampus masih tetap dilarang, pembaharuan ini permulaan yang baik bagi golongan itu mencerminkan tahap intelektual dalam isu politik berbangkit.
“Ia memberi senario sebenar mengenai politik dari kaca mata mahasiswa, masyarakat dan individu. Namun, lebih penting ia memberi bimbingan kepada golongan itu dengan cara betul dan teratur, “ katanya.
Pengerusi Pro-Mahasiswa, saudara Tarmizi turut melahirkan rasa bangga diatas sokongan daripada pelbagai pihak keatas perjuangan Pro-Mahasiswa ini. “Syukur yang tidak terhingga kerana akhirnya perjuangan mahasiswa selama ini telah berjaya membuka mata pelbagai pihak, terutamanya dari ahli akademik di kampus UPM ini sendiri, “ ujar beliau.
Pindaan auku telah berjaya menjadi titik perubahan dalam kebebasan bersuara dan berpendapat terutamanya dalam kalangan warga akademik dan mahasiswa khususnya.
“Dengan sokongan yang kami terima, kami barisan Pro-Mahasiswa akan terus konsisten mendokong kebebasan bersuara untuk semua dan terus fokus dalam membela isu sejagat,” tambahnya lagi.




Ulasan