SCAR 2011 Peluang Mahasiswa Tambah Kemahiran Insaniah dan Serlah Bakat
SERDANG, 20 Disember 2011 – SCAR 2011, Second’s College Carnivals 2011 telah melabuhkan tirai penutupan pada hari ini selepas tiga hari berlangsung dengan jayanya. Program tersebut merupakan pogram besar yang dianjurkan oleh barisan MTM Kolej Kedua dengan bantuan tajaan daripada Johor Corporation, Pejabat Menteri Besar Johor dan beberapa penaja lain.
Sepanjang tiga hari berlangsung, berbagai aktiviti telah terlaksana hasil perancangan yang diatur oleh pihak penganjur. Antaranya ialah pameran daripada pelbagai agensi kerajaan seperti SYABAS, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pilihan Raya, NKRA termasuk badan NGO seperti IKRAM, Dunia Khalifah Academy dan lain-lain,
Bagi pelajar yang berminat dalam bidang fotografi, mereka berpeluang mengikuti Bengkel Fotografi bagi menambah lagi pengetahuan dan kemahiran dalam seni gambar. Selain itu, pengunjung yang hadir turut teruja dengan demonstrasi seni mempertahankan diri. Tidak terkecuali, pemeriksaan kesihatan percuma dan kempen derma darah turut ditawarkan.
Komitmen tinggi oleh penganjur yang menganjurkan pertandingan Band Fighter menjadikan pertandingan tersebut sebagai aktiviti yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Lapan kumpulan terdiri daripada lelaki dan perempuan telah menyertai pertandingan yang menarik ramai penonton ke karnival tersebut.
Para pengunjung yang datang menyaksikan pertandingan ini menghangatkan suasana dengan sorakan dan laungan sokongan kepada kumpulan pilihan. Penampilan istimewa Hanafi MK Jamal yang juga merupakan Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kedua membuatkan penonton yang kebanyakannya dari ‘tuan rumah’ teruja dengan persembahan beliau.
Selain itu, peluang keusahawanan turut dimanfaatkan pelajar dan orang awam apabila lebih 20 tapak gerai jualan disediakan di kawasan parkir kereta Kolej Kedua telah penuh. Usaha ini wajar dipuji memandangkan keusahawanan merupakan salah satu daripada 7 elemen Kemahiran Insaniah(KI) yang sentiasa diterapkan dalam kalangan mahasiswa UPM.
-Laporan ringkas-





Ulasan